Yang setia berkunjung

Operasi kilang ganggu penduduk -edisi sinar harian

Selasa, 29 Jun 2010

JALAN BAKARIAH - Hasrat kira-kira 300 penduduk di sini untuk hidup dalam suasana persekitaran yangbersih dan selamat musnah dengan kewujudan sebuah kilang perabot berhampiran kediaman mereka.

Kilang perabot yang mula beroperasi sejak dua tahun lalu telah memberikan penderitaan kepada penduduk di sini.
Pada mulanya, tempat itu dikatakan sebagai tempat menyimpan barang tetapi telah disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Penduduk mendakwa, sejak kewujudan kilang berkenaan mengakibatkan pencemaran bunyi berlebihan di samping pencemaran bau dan habuk serta keselamatan mereka turut terancam.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, kedudukan kilang itu terlalu hampir dengan rumah penduduk di sini. Kedudukan kilang itu dengan rumah penduduk yang berhampiran hanya pada jarak kira-kira satu meter dan hanya dipisahkan pagar di situ.

Salah seorang penduduk, Adah Mohd Yusof, 48, berkata, pelbagai langkah telah dilakukan penduduk kediaman berkenaan termasuk membuat aduan kepada Majlis Perbandaran Muar (MPM),  Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan berbincang dengan pemilik kilang namun sehingga ke hari ini masih tiada penyelesaiannya.

Menurutnya, sejak kewujudan kilang itu, kehidupan penduduk di sini menjadi tidak tenteram kerana setiap hari mereka diganggu dengan bunyi bising yang kuat bermula pagi sehingga lewat malam. “Tidak cukup dengan itu, setiap hari saya juga terpaksa menahan bau yang menusuk hidung dan meloyakan dipercayai berpunca daripada semburan bahan kimia pada perabot kilang berkenaan.

“Saya sudah tidak sanggup lagi untuk terus berhadapan keadaan seperti ini kerana sering sakit kepala akibat terlalu kerap menghidu bau bahan kimia yang kuat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini.

Katanya, kilang itu juga tidak dilengkapi dengan sistem saliran yang sistematik menyebabkan air sisa daripada kilang itu dibiarkan mengalir ke kawasan rumahnya.
“Saya bimbang kerana air sisa dari kilang ini mengandungi bahan kimia yang boleh memudaratkan saya sekeluarga,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Ahmad Ismail, 71, berkata, sebelum ini, MPM pernah mengarahkan kilang haram itu menghentikan semua operasinya serta merta pada April 2008.
“Namun penutupan operasi ini hanya sementara apabila pemilik kilang ini melanggar arahan MPM dan memulakan semula operasi kilang kira-kira empat bulan lalu,” katanya.
“Isu kilang ini juga telah mendapat perhatian dan pernah disiarkan dalam sebuah televisyen swasta,” katanya.

Katanya, pembinaan kilang itu tidak sesuai kerana dibina dalam kawasan perkampungan dan terlalu hampir dengan rumah penduduk.

“Sebelum ini, pemilik kilang pernah mengatakan akan berpindah ke kawasan lain namun sehingga ke hari ini mereka masih berada di sini,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Rosnita Sofian, 28, berkata, penduduk di sini sudah tahan lagi untuk menanggung penderitaan yang dibuat kilang berkenaan.

Menurutnya, pemilik kilang itu seolah-olah tidak menghormati penduduk kerana sering mengeluarkan bunyi bising terutama pada waktu malam.
“Rumah saya juga sering dicemari debu yang dipercayai berpunca daripada habuk kayu yang dilepaskan ke rumah penduduk,” katanya.

Selain itu, penduduk di sini juga terdedah dengan ancaman penyakit berbahaya.
Katanya, ada di antara penduduk telah menghidap batuk dan sehingga ke hari ini masih belum sembuh sepenuhnya.
Malahan mereka juga mengalami masalah penyakit kulit seperti alahan.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Cute Kan...hehehhe

Aunty Yong Ipin Copyright © 2009 Designed by Ipietoon Blogger Template for Bie Blogger Template Vector by DaPino